JA Opal - шаблон joomla Продвижение
YOU ARE HERE: Halaman Utama

ANAK KITA TANGGUNGJAWAB KITA

E-mail Cetak PDF

Oleh Ustaz Rozaimi Ramle, Pada 10 Jul 2017

altRasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

    كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَاْلأَمِيْرُ رَاعٍ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya:

    “Kamu sekalian adalah pemimpin, dan kamu sekalian bertanggung jawab atas orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (raja) adalah pemimpin, seorang suami pun pemimpin atas keluarganya, dan isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan anak-anaknya. Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta pertanggungjawabannya atas kepemimpinannya.”
    (HR Bukhari, no. 893, 5188, 5200)

 

Masing-masing mempunyai peranan suami dan isteri dalam rumahtangga. Oleh itu, sebagai ibu bapa kita mesti menunjukkan contoh yang terbaik di hadapan anak-anak. Jika nak bergaduh sekalipun janganlah kita bergaduh di hadapan anak-anak.

Bersabarlah walaupun hati didalam rasa nak “meletup” kerana pergaduhan yang disaksikan oleh anak-anak akan memberi kesan kepada anak-anak tanpa ibu bapa sedari.

Mungkin di rumah mereka boleh menjadi anak yang baik kerana takut kepada kita, namun dibelakang kita terutama di sekolah mungkin mereka menjadi pembuli atau menjadi seorang murid yang tidak aktif dan takut kerana terbawa-bawa dengan perlakuan di rumah.

Ingatlah, anak ini amanah Allah kepada kita. Jangan kita abaikan mereka. Jagalah mereka dengan seikhlas hati kita dan bimbinglah mereka jika mereka tersasar. Jangan kita biarkan mereka tanpa ditegur kerana takut ia menjadi kebiasaan dan menjadi rutin hidup mereka.

Contohnya kita sering lihat orang membuang sampah keluar kereta, kita tegur mereka bahawa perbuatan itu tidak elok kerana bukan sahaja ia mengotorkan jalan raya tetapi ia membahayakan kenderaan di belakang dan yang lalu-lalang.

Sediakan plastik sampah kecil di dalam kenderaan supaya mereka ada tempat untuk membuang sampah. Jangan kita tegur mereka tapi dalam masa yang sama kita tidak sediakan penyelesaian bagi mereka. Nasihatlah mereka dengan sebaik-baik nasihat sebagaimana nasihat Luqman kepada anaknya:

    وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Maksudnya:

    “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika ia memberi pelajaran kepadanya, ‘Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”
    (Surah Luqman: 13)

Ajar mereka solat dan ajak mereka solat. Jangan biarkan guru-guru sekolah memainkan peranan mereka mengajar mereka solat. Guru-guru hanya bersama dengan anak-anak kita lebih kurang 30 minit dalam kapasiti murid yang ramai maka tidak mustahil guru-guru tidak mampu memberi perhatian khusus kepada anak-anak kita. Oleh itu, kitalah yang harus memainkan peranan. Allah Ta’ala berfirman :

    وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ

Maksudnya:

    “Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kami-lah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang yang bertaqwa.”
    (Surah Thaahaa : 132)

Jagalah akhlak mereka dengan sebaik-baik akhlak. Contohnya, jangan kita menipu anak-anak dengan janji-janji kosong seperti, “…jika kamu tolong ayah bersih rumah hari ini, ayah akan belanja makan diluar”. Tetapi apabila mereka siap menolong kita, kita hanya diamkan dan pura-pura lupa akan janji kita.

Anak-anak sentiasa berharap dengan apa yang ibu bapa mereka janjikan dan bagi mereka ibu bapa merekalah yang terbaik. Hebatnya anak-anak kita ini, walaupun masakan orang lain lagi sedap daripada masakan ibu mereka namun mereka tetap rindukan masakan ibu mereka. Inilah kehebatan kasih sayang yang Allah bagi kepada anak-anak terhadap ibu bapa mereka.

Dan akhir sekali, jagalah dengan siapa mereka berkawan dan kenalilah siapa kawan anak-anak kita. Jangan kita tidak ambil kisah siapa kawan mereka. Ambil kisah segala-galanya berkenaan anak-anak kita.

Sebagai ibu bapa jangan kita lupa berdoa kepada anak-anak kita supaya mereka menjadi hamba yang soleh dan bertaqwa serta berpegang teguh dengan al-Qur’an dan Sunnah, menjadi anak yang baik dan menurut kata ibu bapa dan berakhlak yang baik sama ada dengan ibu bapa, keluarga dan dengan orang lain.

Antara doa yang ada dalam Al-Quran:

    رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya:

    “…Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”
    (Surah Al-Furqaan: 74)

Wallahua’lam.

sumber : https://tazkirah.net/anak-kita-tanggungjawab-kita