JA Opal - шаблон joomla Продвижение
YOU ARE HERE: Halaman Utama

Solat : Kelebihan Berjemaah

E-mail Cetak PDF

Sebagai umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, kita amat digalakkan untuk mencontohi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam segenap aspek kehidupan, termasuklah dalam hal pelaksanaan ibadah solat. Memandangkan begitu tingginya nilai ibadah solat dalam Islam, maka kita sebagai Muslim juga dituntut untuk bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah tersebut, sesuai dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam kepada kita.

 

 

 

DaripadaAbu Hurairah radiallahuanhu, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya.” Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi : Antara perkara utama yang harus kita contohi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam hal solat ini ialah menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah. Melalui perkataan Nabi sallallahu alaihi wasallam kita dapati bahawa baginda amat menitik beratkan pelaksanaan solat fardu secara berjemaah ini dalam kalangan umatnya. Bahan dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah. Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda maksudnya: “Demi Tuhan yang diriku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku pernah hendak menyuruh para sahabat untuk mencari kayu api, lalu aku menyuruh agar bersolat jemaah. Seterusnya, aku menyuruh seseorang untuk mengimami orang ramai, sementara aku tidak ikut solat berjemaah kerana mencari rumah orang yang tidak mengikuti solat berjemaah, lalu aku bakar rumah mereka.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim : Malah dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim juga, bahawa pernah suatu ketika datang seorang lelaki buta kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang meminta keringanan untuk solat di rumah. Namun, tatkala lelaki itu hendak pergi, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam memanggilnya dan bertanya, “Adakah engkau mendengar laungan azan?” Lelaki buta itu menjawab, “Ya.” Rasulullah sallallahu alaihi wasallam kemudiannya berkata, “Kalau begitu, penuhilah panggilan itu (solat secara berjemaah).” Mesej daripada hadis ini cukup mudah, iaitu jika lelaki buta pun Rasulullah sallallahu alaihi wasallam anjurkan supaya bersolat secara berjemaah, inikan pula kita manusia normal dan mendengar azan hampir setiap hari. Sudah pasti diri kita lebih dituntut oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam untuk melaksanakan solat berjemaah. Melalui sirah baginda sallallahu alaihi wasallam, kita dapati bahawa sejak baginda berhijrah ke Madinah, baginda tidak pernah meninggalkan solat berjemaah sehinggalah baginda wafat (selama 13 tahun di Makkah sejak kedatangan Islam, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat terpaksa solat secara bersembunyi atau bersendirian di rumah masing-masing kerana sentiasa berada dalam keadaan ditekan oleh kaum Quraisy). Malah, ketika Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam keadaan sakit tenat pada penghujung hayat baginda, baginda dipapah oleh para sahabat radiallahuanhu untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Hal ini sememangnya menampakkan betapa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ingin mendidik umatnya agar mengambil berat akan ibadah solat fardu secara berjemaah ini. Mengenai hukum mengerjakan solat fardu secara berjemaah ini, antara pendapat yang termasyhur ialah daripada Imam Nawawi. Menurut beliau, solat berjemaah pada lima waktu yang fardu (selain solat Jumaat) hukumnya adalah fardu kifayah, yang mana diwajibkan bagi individu lelaki yang berakal, telah baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak uzur syarii. Hukum fardu kifayah ini bermaksud apabila ada sekumpulan orang di sesebuah mukim atau kampung mendirikan solat berjemaah di masjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang di situ yang tidak menunaikan solat berjemaah. Namun jika tidak ada seorang pun di dalam mukim atau kampung tersebut yang menunaikan solat berjemaah, maka semua penduduk di situ mendapat dosa. Sebenarnya banyak lagi pendapat ulama salaf mengenai hukum solat berjemaah ini. Jika anda berminat untuk mengetahui pendapat-pendapat tersebut secara ringkas, saya mencadangkan anda membaca buku “Solat Berjemaah – Asas Kekuatan Peribadi, Masyarakat dan Ummah” karangan Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman al-Hafiz, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Di bawah tajuk “Hukum Solat Berjemaah Mengikut Pandangan Ulama”, anda akan didedahkan dengan pandangan-pandangan ulama daripada empat mazhab utama (Syafi’i, Hambali, Maliki dan Hanafi) mengenai tuntutan solat berjemaah ini. Banyak kebaikan yang dikurniakan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan solat fardu secara berjemaah. Antaranya ialah mereka akan dikurniakan ganjaran pahala yang berganda-ganda. Berdasarkan hadis yang kita sedia maklum, daripada Abdullah bin Umar radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda,maksudnya: “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda.” Riwayat Bukhari:Selain itu Allah subhanahu wataala juga menjanjikan keampunan daripada dosa-dosa kepada orang yang menunaikan solat berjemaah. Hal ini bersesuaian dengan sebuah hadis daripada Uthman bin Affan radiallahuanhu yang mana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda :“Sesiapa yang berwuduk untuk solat, lalu dia menyempurnakan wuduknya, kemudian dia terus berjalan untuk mendirikan solat fardu, lalu dia pun menunaikannya bersama orang lain atau secara berjemaah atau di masjid nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya.” Riwayat Muslim : Malah, sesuatu solat berjemaah itu akan digandakan kelebihannya apabila bertambah bilangan orang yang turut serta dalam solat berjemaah tersebut. Dalam hal ini, ada suatu hadis daripada Ubay bin Kaab radiallahuanhu, daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud : “Sesungguhnya solat lelaki yang dilakukan bersama seorang lelaki yang lain lebih afdal (di sisi Allah) daripada solatnya secara bersendirian. (Begitu juga) solatnya bersama dua orang lelaki lebih afdal (di sisi Allah) daripada solat yang dilakukan bersama seorang lelaki sahaja. Semakin ramai bilangan ahli jemaah maka ia semakin disukai di sisi Allah.” Riwayat Abu Daud : Maka dengan segala tuntutan dan kelebihan solat berjemaah ini, apa lagi alasan untuk kita bertangguh, berasa malas atau berat hati untuk mengerjakannya? Mulai sekarang, ayuh kita beriltizam untuk memenuhi masjid sebaik sahaja seruan azan berkumandang. Tidak rugi kita berhenti sejenak dan meluangkan sedikit masa untuk solat berjemaah di masjid. Bahkan, segala usaha kita ini pastinya pula akan dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah yang Maha Penyayang.