JA Opal - шаблон joomla Продвижение
YOU ARE HERE: Halaman Utama

12 ADAB BERZIARAH

E-mail Cetak PDF

Syukur ke hadrat Ilahi, kita masih diberikan kesempatan untuk menghirup udara di bulan Syawal yang mulia ini. Sebulan kita berpuasa, menahan lapar dan dahaga. Juga, sedaya upaya menghalang diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa.

Dalam kegembiraan kita menyambut Aidilfitri di bulan Syawal ini, mari kita tekuni adab-adab yang perlu kita ketahui tatkala menziarahi sanak saudara, jiran tetangga, rakan taulan dan saudara mara seIslam yang lain. Antaranya adalah seperti berikut:alt


#1 – Niat Yang Baik

Amalan ziarah-menziarahi sesama Muslim banyak manfaatnya, antaranya mendekatkan yang jauh, mendamaikan pihak yang bersengketa dan seterusnya, mengeratkan lagi silaturrahim yang terbina.

Oleh itu, amalan ziarah ini seharusnya tidak dilindungi dengan niat yang tidak baik seperti untuk tujuan menunjuk-nunjuk, bermegah-megah ataupun menambahkan persengketaan. Ikhlaskan diri dan niat berziarah semata-mata kerana Allah SWT.
#2 – Meminta Izin Untuk Datang Berziarah

Sebagai tetamu, sebaiknya kita meminta izin terlebih dahulu dengan tuan empunya rumah untuk menziarahinya. Dan, terlebih baik jika dihubungi terlebih dahulu salah seorang ahli keluarga tersebut untuk memaklumkan kedatangan kita, supaya mereka turut bersedia menerima kunjungan kita dengan hati yang lapang. Juga, memudahkan urusan kita untuk mengurus masa, jika sekiranya tuan rumah tiada di rumah.
#3 – Memberi Salam

Dalam Islam, kita diajar untuk memberi salam sebelum masuk ke dalam mana-mana tempat sekalipun rumah kita sendiri. Dan, sebagai tetamu, maksimum untuk kita memberi salam kepada tuan rumah yang hendak dikunjungi adalah sebanyak 3 kali. Hal ini seperti saranan Baginda Nabi SAW yang menyatakan cukup sekadar 3 kali untuk memberi salam.

Adapun jika kali ketiga tiada sesiapa yang menjawab atau menyahut panggilan salam itu, sebaiknya kita pulang. Hal ini turut disebut menerusi firman Allah SWT yang bermaksud;

    “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). Maka, sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin), maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin dan jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, maka hendaklah kamu berundur pulang; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
    (Surah an-Nur: 27-28)

#4 – Memilih Masa Yang Sesuai

Sebaiknya, pilihlah masa yang bersesuaian untuk melakukan aktiviti ziarah iaitu tidak terlalu awal pagi seperti selepas solat Subuh dan tidak terlalu lewat malam kerana dibimbangi menganggu waktu rehat mereka.
#5 – Memakai Pakaian Yang Bersesuaian

Pakaian juga memainkan peranan yang cukup penting dan turut mencerminkan keperibadian kita sebagai seorang Muslim atau bukan. Bagi tujuan ziarah-menziarahi, pilihlah pakaian yang sopan, tidak mencolok mata dan sedap mata memandang. Hal ini supaya tuan rumah juga berasa senang dan selesa dengan kehadiran kita sebagai tetamunya.
#6 – Tidak Menceritakan Hal Keburukan Orang Lain

Tatkala bertemu sanak saudara, jiran tetangga, rakan taulan mahupun sesiapa sahaja kenalan kita, sudah pasti ada perkara yang dibualkan. Namun, perlu diingatkan agar kita saling menjaga tutur kata agar tidak menyakiti hati sesiapa atau bercerita tentang keburukan orang lain seenaknya.
#7 – Tidak Mengambil Sesuatu Tanpa Izin

Berada di rumah yang dikunjungi, mungkin kita tidak terlepas dari memerhatikan keadaan sekeliling yang ada. Sungguhpun begitu, perlu diingatkan juga agar kita menjaga pandangan untuk tidak melilau serta memerhatikan setiap inci perabot mahupun perkakas yang terdapat di dalamnya.

Bahkan, dilarang sama sekali untuk mengambil sesuatu yang ada di rumah yang dikunjungi itu tanpa izin empunya rumah. Bagi mereka yang mempunyai anak kecil, perlu juga teliti dalam hal ini kerana dikhuatiri akan terambil hak milik tuan rumah seperti permainan mahupun barangan lain.
#8 – Menjamah Makanan Yang Dihidangkan Dengan Tertib

Apabila tuan rumah menghidangkan makanan, sebaiknya ambil makanan yang lebih dekat terlebih dahulu sebelum yang lain. Makan dengan penuh tertib, tidak gelojoh mahupun tamak.

Adapun, sekiranya terdapat makanan yang dihidangkan itu tidak memenuhi selera kita usahlah ditunjukkan ketidaksudian kita untuk menjamah makanan tersebut. Makanlah walaupun sedikit bagi menghormati perasaan dan menjaga hati tuan rumah yang bersusah payah menyediakan hidangan tersebut.
#9 – Menjaga Tingkah Laku

Adab lain apabila berada di rumah orang adalah menjaga tatatertib dan tingkah laku kita selaku tetamu. Selain menjaga diri sendiri, perlu diperhatikan juga tingkah laku anak kecil yang dibawa bersama supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini kelak, seperti berlari-lari sekeliling rumah sehingga memecahkan atau merosakkan barangan milik tuan rumah.
#10 – Tidak Berlama-Lama

Ziarah-menziarahi sememangnya amalan yang mulia dan perlu diterapkan dari generasi ke generasi walau sudah berzaman. Namun, perlu dititikberatkan juga agar kita sebagai tetamu tidak berlama-lama di rumah yang dikunjungi bagi memberi ruang kepada tuan rumah dan menghormati privasi mereka untuk melakukan aktivitinya yang lain.
#11 – Tidak Pulang Sehingga Diizinkan Oleh Tuan Rumah

Apabila bertandang ke rumah seseorang, tidak seharusnya kita pulang tanpa meminta izin kepada tuan rumah. Hal ini seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud;

    “Apabila salah seorang dari kalian mengunjungi saudaranya lalu ia duduk bersamanya, maka janganlah ia bangkit sehingga saudaranya itu mengizinkannya”
    (Hadis Riwayat ad-Dailami)

#12 – Berterima Kasih Kepada Tuan Rumah

Akhir sekali, seharusnya kita mengucapkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada tuan rumah atas layanan dan hidangan jamuan yang disediakan. Juga, di atas kesudian mereka meluangkan masa untuk menerima kita sebagai tetamunya.

Diharapkan perkongsian yang sedikit ini memberikan manfaat kepada kita tatkala mengunjungi sanak saudara, jiran tetangga mahupun kenalan di mana-mana jua. Lebih-lebih lagi, pada bulan yang mulia ini. Wallahua’lam.